Jadi, inilah dia hujah yang menghilangkan keraguan penulis berkenaan dengan ForEx. Maka bermulalah episod baru dagangan ForEx penulis. Selamat membaca dan menghadamkan pemahaman.
::// Penjelasan tentang ForEx
Di ruangan terhad ini pihak kami ingin menjawab beberapa kekeliruan tentang hukum berkaitan dengan perdagangan matawang asing atau Forex ( forex exchange).
Kekeliruan dalam memberi fatwa tentang haramnya perdagangan matawang asing timbul disebabkan dangkalnya ilmu tentang tentang perkara tersebut hanya melalui mendengar cerita tentang perlaksanaannya atau sekadar membaca artikel yang ditulis tentangnya di internet atau di mana- mana tanpa terlibat secara langsung untuk memahami proses perdagangan matawang asing ini dilakukan.
Sesetengah pihak begitu tegas mengatakan dan cuba membuktikan ianya haram sehingga menjengilkan biji mata untuk menegakkan hujahnya tanpa menilai secara kajian yang mendalam atau memahaminya terlebih dahulu dengan secara tepat.
Pertama, beberapa pihak ada menyatakan bahawa perdagangan matawang asing pada hukum asalnya adalah harus dan kemudiannya haram berlangsung selama 24 jam sehari secara berterusan. Untuk makluman sidang pembaca, perdagangan matawang asing hanya boleh dilakukan 24 jam sehari dan selama 5 hari seminggu bermula Isnin hingga Jumaat sahaja secara online. Pada hari Sabtu dan Ahad, pasaran matawang seluruh dunia ditutup. Hanya pasaran Da Ma Cai, Sport Toto, Magnum 4D dan yang sewaktu dengannya dibuka secara “off-line” ( Ini hukumnya adalah haram tanpa adanya syak wasangka lagi ).
Mereka juga menyatakan bahawa berlakunya “Riba an-Nasiah” daripada pertukaran wang kerana tidak dilakukan secara “yadan bi yadin” atau dalam Inggerisnya “on the spot basis” atau dalam bahasa Melayunya “tangan ke tangan” atau dalam bahasa yang lebih mudah adalah “serah dan terima” atau qadabh. Di dalam perdagangan matawang asing tidak akan dibenarkan membuat pembelian atau penjualan sekiranya mudharib (trader) tidak mempunyai duit yang mencukupi di dalam akaunnya sendiri.
Ini bermakna Mudharib (trader) perlu menjual atau membeli atau dengan istilah lain menukar matawang bergantung pada nilai yang dimiliki bertepatan konsep “serah dan terima” atau “on the spot basis” qabadh secara hukmi. Di dalam perdagangan matawang asing tidak berlaku tempahan nilai matawang atau pembidaan nilai matawang. Apa yang berlaku ialah pembelian dan penjualan sesuatu nilai matawang yang dikategori oleh Ulama sebagai “ bay’u naqdu bi naqdi kas sil’ati “.
Nilai matawang yang diniagakan adalah dari jenis yang berbeza dan bukannya dari satu jenis kerana di dalam perdagangan matawang asing tindakkan berlaku jual beli pada matawang dari yang sama jenis. Contohnya dibeli (buy/long/mine ) atau dijual (sell/short/yours) matawang US Dolar bersamaan dengan Japanese Yen ( USD/JPY). Great Britain Pound bersamaan dengan US Dolar (GBP/USD).
Mereka juga menegaskan bahawa perdagangan matawang asing adalah haram kerana transaksi diuruskan oleh sebuah institusi kewangan konvensional. Adakah muamalah di dalam Islam diharamkan untuk orang Islam berdagang dan berurus niaga dengan orang bukan Islam secara mutlak ? Bagaimana pula hukumnya sebuah bank konvensional yang menggaji pegawai syarie’nya untuk menjaga atau memantau kaunter Islam bank tersebut sedangkan selebihnya terlibat dalam riba dan haram ? Dan pegawai syari’e tersebut terpaksa redha dengan selebihnya kerana alasan bukan dalam bidang kuasa beliau ?
Memang benar bahawa Panel Penasihat Syariah Sedunia yang bernaung di bawah nama Accounting & Auditing Organization For Islamic Institutions (AAOIFI) yang antara Panel Penasihat Syariahnya adalah Syeikh Mufti Taqi Uthmani, Prof Dr . Syeikh Wanbah Zuhayli, Prof Dr . Syeikh Siddiq Dharir, Syeikh Abdullah al-Mani’ dan ramai lagi menyatakan bahawa transaksi antara matawang secara tangguh dan “ forward” akan menghasilkan “Riba an-Nasiah”. Tetapi perniagaan matawang secara tangguh dan “forward” tidak berlaku dalam realiti perdagangan matawang asing . Ini kerana setiap belian atau jualan hendaklah dilakukan secara langsung dan semasa ataupun “instant” dalam pasaran tanpa adanya penangguhan waktu dan “forward” walau sesaatpun.
Mereka menyatakan bahawa perdagangan matawang asing adalah haram kerana berlakunya SWAP. SWAP sebagaimana yang didefinisikan adalah “sebagai satu perjanjian atau kontrak di antara dua pihak bagi pertukaran bertempoh bagi sesuatu asset kewangan yang khusus, asset material atau kadar faedah. Proses ini hanya berlaku antara institusi kewangan dengan institusi kewangan yang lain sahaja. Apa yang berlaku ialah istilah SWAP dalam perdagangan matawang asing tersebut merupakan caj penyetoran dagangan (storage fees) untuk penjualan atau pembelian matawang yang melebihi 24 jam dan bukannya pertukaran bertempoh atau jualan matawang secara tangguh.
Meraka mendakwa bahawa perdagangan matawang asing adalah haram kerana konsep “options” yang didefinasikan sebagai ; ‘Satu kontrak yang mana hak diberikan (tetapi tidak menjadi kewajipan) untuk membeli atau menjual sesuatu item yang dipersetujui (sama ada dalam bentuk saham, komoditi, matawang, indeks dan hutang ) pada harga yang ditentukan. Tiada kewajipan bagi penempah untuk memenuhi tuntutan kontrak bagi membeli item yang ditempah, tetapi penjual hak item itu, wajib memenuhi tuntutan kontrak.”Dan beliau kaitkan “options” ini dengan penjualan benda yang belum dimiliki berteraskan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi :
“Jangan kamu membeli ikan dalam air, karena sesungguhnya jual beli yang demikian itu mengandungi penipuan”. (Hadis Ahmad bin Hambal dan Al Baihaqi dari Ibnu Mas’ud)
‘Options’ dengan penjualan benda yang belum dimiliki adalah topik dan perbahasan yang jauh berbeza . Nampak gayanya beliau terkeliru antara dua benda yang tidak berkaitan ini.
Kami memang akui bahawa ‘options’ adalah salah satu urus niaga yang terlibat dengan gharar dan riba serta hukumnya haram akan tetapi ianya tidak dibenarkan dan tidak berlaku dalam perdagangan matawang asing atau forex ( foreign exchange ) tetapi ianya hanya berlaku dalam ekuiti dan komoditi.
Mereka juga mendakwa berlakunya “futures” dalam perdagangan matawang asing dan ianya adalah haram bila terlibat dengan matawang kerana ianya membawa kepada “Riba an-Nasiah”. “Futures” itu didefinasikan sebagai : “ Satu kontrak komersial yang dibuat bagi melakukan pembelian atau jualan satu aset dalam satu kuantiti yang khusus pada tarikh akan datang yang khusus “ (Britannica Encyclopedia, 1988. 5/65). Para cendiakawan dan ilmuwan Islam membenarkan “futures” dilakukan dengan syarat kontrak komersial yang dibuat itu hanya janji dari satu belah pihak atau “unilateral promise from one side”.
Oleh itu, apa yang berlaku dalam perdagangan matawang asing adalah bertetapan dengan syarat yang diberikan oleh Ulama’ Islam dengan futures yang dibenarkan dalam perdagangan matawang asing adalah dikenali sebagai “pending order” dan proses perlaksanaan yang diberi kuasa sepenuhnya kepada mudharib (trader) tanpa gangguan atau campurtangan dari mana-mana pihak untuk membuat keputusan meletakkan dan meneruskan “pending order” tersebut atau sebaliknya.
Mereka mendakwa bahawa di dalam pelaburan perdagangan matawang asing terdapatnya Guaranteed Capital ( Jaminan Wang Modal tidak lupus) dan juga ‘Guaranteed Fixed Return’ (jaminan pulangan dan jumlah yang tertentu). Kami dapati dua unsur ini tidak berlaku di dalam perdagangan matawang kerana kami pernah berjumpa dengan mereka yang rugi berjuta-juta ringgit dan tidak kurang juga yang membuat keuntungan berjuta-juta ringgit. Itulah risiko sebuah perniagaan dan dalam apa jua perniagaan. Hanya mereka yang kuat dan kental sahaja akan bangkit dan yang lemah akan terus menjadi semakin lemah. Mungkin beliau tersilap faham tentang orang yang membuat skim Pak Man Telo dengan realiti perdagangan matawang asing.
Daripada penelitian dan pemerhatian yang kami lakukan serta kajian yang mendalam tentang bagaimana urusan serta perjalanan perdagangan matawang asing dilaksanakan, kami dapati tidak terdapat unsur-unsur atau terma-terma yang bercanggah dengan Islam. Setelah dihalusi tentang perlaksanaan dan perjalanannya untuk ketika dan saat artikel ini ditulis, tiada satupun yang bercanggah dengan kehendak syara’ atau terlibat dengan syubhah atau ribawi. Walaupun dibuat secara secara maya di internet, ianya mewakili akaun dan duit yang sebenar serta berhadapan dengan risiko yang tinggi kepada sesiapa yang berurusan dengan perdagangan matawang asing ini.
Semoga usaha yang sedikit ini dalam menjelaskan segala kekeliruan yang timbul dan diredhai serta diberkati oleh Allah s.w.t dibawah payungan rahmat dariNya.
Penjelasan tentang ForEx \\::
Klik untuk sumber
Penulis berpegang kepada hujah ini kerana penulis sendiri pernah mengalami untung dan rugi, beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan dalam dagangan ini dan hal-hal lain. Sekiranya anda tidak bersetuju, terpulanglah kepada anda sebagai pembaca. Keyakinan penulis terhadap status harus ForEx adalah berpandukan ilmu dan pemahaman, bukan ikut-ikutan. Semoga kita dapat ambil manfaat bersama.
Segala yang baik dan bermanfaat itu daripada Allah, segala kelemahan dan kekurangan itu daripada penulis sebagai hamba-Nya yang daif.
Wassalam